CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

13 November 2010

Makna Bahagia

Ramai orang yang keliru tentang istilah ‘bahagia’ terutama mereka yang masih mencari arah dalam hidup. Suatu ketika dahulu saya juga keliru dengan maksud bahagia yang sebenarnya. Ini menyebabkan saya ke sana dan ke mari, membeli itu dan ini, melakukan begitu dan begini dan bermacam-macam lagi kerana menyangka semua itu boleh membawa boleh bahagia.
Ada mereka yang rasa bahagia jika memiliki rupa paras yang menawan, kalau rupa sederhana takkan nak buat pembedahan plastik? Tak semua orang mampu. Ada juga yang meletakkan bahagia pada teman yang setia, kalau teman tak setia takkan nak bunuh diri? Terdapat juga mereka yang meletakkan bahagia pada motorsikal atau keretanya yang sangat disayangi. Ada yang kata bahagia jika dapat melancong ke luar negara. Dan ramai juga yang menyandarkan bahagia pada duit yang banyak. Duit banyak tak apa lagi, tapi duit banyak yang segera pula. Bolehkah diletakkan harapan?
Ketika membaca kisah Lotus Eater, saya mendapati watak utamanya iaitu Thomas Wilson, meletakkan keyakinan bahawa beliau boleh bahagia dengan tinggal di sebuah pulau yang cantik, Caprio Island. Lalu beliau meletakkan jawatannya sebagai pengurus bank di London, membawa semua wang simpanannya yang banyak untuk bekalan hidupnya di pulau tersebut. Dia rasa dia akan benar-benar bahagia di sana, hanya menikmati keindahan pulau, tidak bekerja dan berehat semata-mata. Namun, bait-bait sengsara semakin menjelma apabila wangnya kian susut di ambang usianya 60an, sewa rumahnya tidak mampu dibayar lagi, hidupnya terpaksa menumpang ihsan dan akhirnya menjadi kurang siuman. Yang paling menyayat hati sisa hidupnya terpaksa dihabiskan dengan menjaga haiwan peliharaan orang yang memberinya makan setiap hari dan terpaksa pula tinggal di dalam pondok seakan-akan reban. Rupanya pulau indah yang disangkanya membawa bahagia adalah derita hatinya dan sengsara hidupnya sehingga akhir usia.
Semenjak skop dunia sudah dikecilkan dengan teknologi komunikasi digital yang pantas lagi global, lebih banyak lagi cara manusia mencari bahagia. Mungkinkah impian bahagia juga boleh direalisasikan melalui internet? Mungkin ya bagi mereka yang menemui cara yang betul seperti menjalankan perniagaan internet seperti yang telah dilakukan oleh Irfan Khairi, Saifulsham dan ramai lagi. Mungkin juga memperolehi pelbagai ilmu dan pengetahuan melalui internet. Walau bagaimanapun, adakala ianya hanya tinggal anganan untuk mencapai bahagia. Tragedi yang menimpa beberapa rakyat Malaysia di luar negara contohnya Siti Aishah Hamid (OKU, 43 tahun) yang tertahan di Pakistan, Norfaizura Azura Md. Lias (28 tahun) yang terdampar di tahanan Malta bersama bayinya, begitu juga dengan Dayang Sakienah dan terdahulu sebelum itu Raja Munirah Raja Iskandar (22 tahun) yang tersumbat dalam penjara di Jepun adalah antara kisah memburu kebahagiaan yang tidak kesampaian. Sungguh simpati dengan nasib mereka.

Jadi di manakah sebenarnya bahagia? Ada pepatah mengatakan ‘Joy is not in things, it is in us’. Frasa lain pula, ‘The purpose of life is to discover your gift. The meaning of life is to give it away’. Dalam kalimah azanpun ada seruan bahagia yang menjadi intipati kejayaan, ‘Marilah menunaikan solat, marilah menuju kejayaan’. Ini bererti orang yang berjaya (bahagia) mesti menunaikan sembahyang. Banyak pula ayat Quran menerangkan bahawa orang yang bersyukur akan ditambah lagi nikmat Tuhannya. Ini kerana rasa syukur akan membatasi ketamakan dan menerima segala pemberian dengan penghargaan. Syukur membuatkan kita mudah memberi atau bersedekah. Bukankah sedekah menyuburkan harta? Bukankah harta menjadi sebahagian daripada tenaga untuk hidup bahagia? Syukur memandu ke jalan bahagia, jalan yang diredai Tuhan. Syukur menundukkan kesombongan dan keangkuhan. Syukur membesarkan Tuhan. Semakin kita berpada dan semakin kita menghargai, maka di situlah bertahtanya kebahagiaan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...